fbpx

Rakyat Britain diminta pakai semula pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakyat Britain perlu mengamalkan semula penjarakan sosial dan bertanggungjawab mengawal penularan dengan penjagaan kendiri. - Christopher Thomond/The Guardian

LONDON – Tinjauan terbaharu Pejabat Statistik Nasional (ONS) mendapati sekitar 3.5 juta penduduk Britain dijangkiti virus Covid-19 pada minggu berakhir pada 6 Julai lalu dengan kes di seluruh negara meningkat sekitar satu pertiga.

Portal berita MailOnline melaporkan kelmarin bahawa kes Covid-19 di Britain melonjak sebanyak 800,000 minggu lalu dengan purata lebih seorang dalam setiap 20 individu dijangkiti setiap hari.

Ketua Penganalisis ONS, Sarah Crofts berkata, jangkitan koronavirus tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan dan boleh mencapai tahap pandemik pada musim panas tahun ini.

Meskipun kerajaan berjanji tidak akan melaksanakan semula perintah berkurung melainkan lonjakan kes Covid-19 mendatangkan ancaman serius, rakyat Britain masih bersikap tidak endah berhubung penularan baharu tersebut.

ONS menganggarkan bahawa 2.8 juta orang dijangkiti virus Covid-19 di England minggu lalu atau bersamaan seorang dalam setiap 19 penduduk. Angka itu meningkat berbanding seorang dalam setiap 25 penduduk atau bersamaan  2.15 juta orang pada minggu sebelumnya.

Pakar imunologi, Profesor Denis Kinane menegaskan bahawa rakyat Britain perlu kembali memakai pelitup muka jika tidak mahu berdepan pelaksanaan perintah berkurung sekali lagi.

Beliau berkata, gelombang baharu koronavirus yang menye­rang Britain itu berpunca daripada subvarian Omicron, BA.4 dan BA.5.

Perkembangan membimbangkan itu menyaksikan sektor kesihatan Britain bersiap sedia untuk menghadapi musim sejuk yang sukar dan mula menawarkan suntikan dos penggalak kedua kepada individu berisiko dan mereka yang berusia lebih 50 tahun.

“Ya, pelitup muka perlu dipakai mengikut kesesuaian masa dan lokasi. Virus ini akan terus menular dan berevolusi, menjadikannya tidak dapat dikesan oleh sistem imuniti badan, sama ada kita telah mendapat imuniti melalui vaksinasi atau jangkitan Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Tambah Kinane, pakar-pakar kesihatan bersetuju bahawa imuniti yang diperoleh daripada vaksin mula berkurangan dalam masa tiga bulan dan dalam kebanyakan kes, merosot dengan ketara atau tidak wujud pada bulan kelima.

“Namun, imuniti kembali berfungsi apabila individu ber­kenaan dijangkiti. Tiada siapa yang mahu kembali pada situasi perintah berkurung, justeru, me­laksanakan langkah berjaga-jaga dan bertanggungjawab secara sosial adalah penting.

“Ini termasuk menggunakan pelitup muka, terutamanya di ruang tertutup dan sesak serta tempat orang ramai bergaul dan berinteraksi secara vokal,” tegasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI