ALOR SETAR – Sumbangan yang dihulurkan tetapi dilonggokkan bagai ‘sampah’, malah ada yang telah reput serta berbau hancing.
Lebih teruk, ada yang sanggup memberikan pakaian dalam tidak berbasuh dengan kesan kotoran yang memualkan.
Demikian situasi yang dihadapi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais, Mohamad Sayuti Wan Chik yang berdepan dengan pelbagai ragam pemberi sumbangan barangan terpakai yang disifatkannya kurang beradab.
Katanya, perkara tersebut adalah biasa baginya yang telah menganjurkan pasar percuma yang dikenali sebagai nat free di beberapa lokasi di negeri ini sejak tahun 2016.
“Saya kemudian membuka nat free di hadapan rumah di Kepala Batas sejak dua bulan lalu dan lebih 10 kilogram (kg) barangan terpakai termasuk pakaian dan kasut yang rosak teruk terpaksa dibuang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia pernah mendapat lima bungkusan besar plastik hitam yang telah reput dilonggokkan seperti sampah di hadapan gerai nat free di tepi Lebuh Raya Darulaman, Kepala Batas di sini.
“Bila diangkat, plastik hampir hancur kerana telah reput selain pakaian di dalamnya berbau hancing.
“Saya terpaksa membuangnya kerana keadaannya yang terlalu teruk untuk diberi kepada yang memerlukan,” ujarnya.
Ujar Sayuti lagi, dia juga pernah menerima pakaian dalam yang masih terdapat kesan kotoran selain kasut berkulat dan reput.
“Saya kecewa apabila melihat ada orang yang sanggup menyumbangkan barangan yang boleh diibaratkan sebagai sampah ini kepada orang lain,” katanya.
Menurutnya, amalan bersedekah itu merupakan satu amalan yang mulia tetapi pemberi mestilah memberi dengan hati ikhlas dan bertanggungjawab dengan memastikan barangan yang diberi masih elok untuk dipakai dan bersih.
Dia bagaimanapun memuji sikap pemberi sumbangan yang menyimpan barang yang mahu diberi dengan baik dalam plastik lutsinar mengikut kategori beserta label.
“Dalam Islam pun, kita dianjurkan memberi barangan yang kita sayang,” katanya.