“SEJAK penularan Covid-19, kebanyakan pemilik kedai dan restoran lebih tertumpu terhadap pematuhan prosedur operasi standard berbanding larangan merokok.
“Pelanggan sudah makin berani menghisap rokok di dalam kedai makan dan sudah tidak bimbang (dikompaun) seperti sebelum ini,” demikian kata seorang rakan penulis ketika kami menjamu selera di salah sebuah restoran di ibu negara baru-baru ini.
Pandangan rakan penulis itu ada benarnya kerana pada ketika ini pemakaian pelitup muka dan bacaan suhu dilihat lebih penting berbanding kesalahan menghisap rokok di dalam premis.
Umum sedar bahawa premis seperti gerai makan, restoran dan kawasan tumpuan umum sudah semakin rancak dengan aktiviti menghisap rokok seolah-olah tiada pengkuatkuasaan ditetapkan sebelum ini.
Jauh di sudut hati, penulis berasa kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab perokok terbabit.
Persoalan yang bermain di minda penulis adalah apakah mereka tidak nampak atau sengaja menutup mata melihat poster larangan merokok yang ditampal di dinding restoran mahupun di medan selera?
Kerajaan sebelum ini melaksanakan larangan menghisap rokok dan rokok elektronik termasuk vape di semua tempat makan di seluruh negara di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan
Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Dengan penguatkuasaan itu, mereka yang ingkar akan dikenakan kompaun RM250, namun boleh dikurangkan kepada RM150 sekiranya denda itu dijelaskan dalam tempoh sebulan.
Sekiranya masih berdegil, tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua dan bayaran penuh sebanyak RM250 dan RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.
Pemilik premis juga tidak terkecuali kerana mereka bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok.
Mereka juga boleh dikenakan kompaun sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut.
Semasa di awal penguatkuasaannya, ramai perokok yang sanggup meninggalkan meja makan dan berada pada jarak tiga meter untuk melepaskan gian merokok bagi mengelak dikompaun.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan sebenarnya masih lagi melaksanakan peraturan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka.
“Penguatkuasaan masih ada sehingga sekarang, sama seperti Covid-19, sekiranya ada individu langgar larangan kuarantin akan ditangkap begitu juga dengan penguatkuasaan larangan merokok,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan Noor Azmi membawa maksud undang-undang larangan merokok masih ada dan belum berkubur.
Ini kerana, ada yang beranggapan penguatkuasaan kini beralih kepada langkah-langkah pematuhan Covid-19.
Bagi penulis, bagi hal ini, kerjasama masyarakat adalah penting dan menjadi tunjang untuk turut sama menjayakan penguatkuasaan larangan berkenaan.
Untuk rekod, hasil susulan analisis Kementerian Kesihatan baru-baru ini menyatakan jumlah kematian individu yang merokok akibat Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding mangsa bukan perokok iaitu sebanyak 17.6 peratus.
Jadi apakah langkah dan tindakan kita seterusnya? Tepuk dada tanya diri sendiri.