TELUK INTAN – Seorang lelaki berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher bernilai RM35,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Mahkota di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kejadian tersebut diterima pada pukul 4.50 petang daripada pemilik kedai emas berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, wanita berusia 50 tahun itu berada di dalam premis bersama tiga pekerja.
“Seorang pelanggan telah datang ke kedai dan meminta untuk melihat beberapa utas rantai tangan sebelum ditunjukkan oleh pekerja.
“Bagaimanapun, lelaki itu secara tiba-tiba membawa barang kemas itu keluar dari kedai tanpa membayarnya dan kejadian itu disedari pengadu yang kemudian menjerit meminta tolong,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek telah melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang diparkir kira-kira 50 meter dari kedai tersebut.
Katanya, semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah di atas nama seorang lelaki berusia 45 tahun yang mana mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes dadah. – KOSMO! ONLINE