PETALING JAYA – Isu kelewatan serahan kunci kepada pembeli kediaman Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong, Johor bukanlah disebabkan urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebaliknya berpunca daripada masalah dalaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
TNB dalam kenyataan berkata, berikutan salah faham itu, satu pertemuan antara TNB dan SPNB telah diadakan bagi mendapatkan pencerahan.
“Dalam pertemuan tersebut, pihak SPNB telah memohon maaf atas kesilapan perkongsian maklumat kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
“Mereka memaklumkan punca kelewatan serahan kunci sebenarnya akibat masalah dalaman SPNB dengan pihak kontraktor utama projek,” katanya.
Dalam pada itu, TNB telah mencadangkan agar pihak SPNB berbincang semula dengan kontraktor berkenaan supaya dokumen yang perlu berserta deposit dapat dimajukan kepada TNB bagi pemasangan meter elektrik untuk projek ini dilaksanakan dengan kadar segera.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 972 pembeli kediaman Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana tidak lagi dapat menahan sabar ekoran terpaksa menunggu selama 13 tahun namun rumah yang dibeli masih belum dapat diduduki.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor, SPNB memaklumkan fasa dua projek pangsapuri itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lalu namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). – KOSMO! ONLINE