PETALING JAYA – “Jadilah mata lebah yang selalu memandang madu juga benda-benda manis, jangan jadi mata lalat.”
Demikian peringatan aktres dan usahawan, Rozita Che Wan buat mereka yang suka mengambil kesempatan meninggalkan komen-komen negatif termasuk melaga-lagakan sesama selebriti berhubung isu kualiti inai.
Rozita atau lebih dikenali dengan panggilan Che Ta menegaskan, rakan seperjuangannya, Nur Fazura hanya menyokong perniagaannya dan tiada isu bertelagah dengan mana-mana pihak.
“Apa salah Fazura ya? Ada ke dia cakap bukan-bukan pasal orang lain? Saya pelik apabila ada yang buat akaun palsu semata-mata nak hentam dan komen negatif padanya.
“Sedangkan, bila kami tengok balik komen video sebelah dan IG Story yang dia ‘tag’, tiada pun nampak dia sebut mana-mana selain inai saya dan saya pun tiada nak gaduh dengan sesiapa,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram.
Getus pemilik nama lengkap, Rozita Abu Bakar itu lagi, pilihan membeli terletak di tangan masing-masing sama ada mahukan yang murah atau mahal.
“Macam tudung juga, Faz jual murah dan mampu milik, ramai suka. Yang lain nak jual mahal pun ada orang suka, pilihan di tangan kalian.
“Dalam dunia ini ada 1001 pintu rezeki, buat apa kalian nak bergaduh. Percayakan rezeki sahajalah. Tak letih ke asyik nak lagakan orang sini sana,” katanya.
Terdahulu, Che Ta, 49, dipuji ramai apabila menjual inai yang semakin menjadi trend dalam kalangan pembeli pada harga mampu milik iaitu RM15.
Selain peminat, Fazura turut memuji inisiatif isteri kepada Zain Saidin itu menjual barangan tersebut dengan harga berpatutan.
“Baru nak buka (pakai). Terima kasih Che Ta sebab ingat saya dan jual pada harga murah untuk semua saudara kita,” kata isteri kepada aktor, Fattah Amin itu.
Minggu ini, isu inai menjadi antara bahan bualan hangat apabila ada yang melahirkan rasa kecewa sesetengah jenama inai tidak memberi hasil memuaskan pada kuku mereka.
Selain Che Ta, selebriti lain yang turut menjual produk sama ialah Neelofa. – KOSMO! ONLINE