KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie mengakui kecewa tidak dapat memberi persembahan terbaiknya pada malam kedua Konsert Fabulous Friday yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas malam tadi.
Menurut pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman itu, beliau juga telah mendapatkan rawatan di hospital kerana kurang sihat.
Malah, beliau yang beraksi bersama kumpulan Wings turut membawa bekalan ubatan ketika beraksi di atas pentas di hadapan peminatnya.
“Sebenarnya saya kurang sihat dan telah ke hospital semalam (kelmarin) selepas membuat persembahan. Namun, ketika ini ramai yang sakit sehinggakan tidak cukup katil.
“Pelbagai bekalan ubat saya bawa ke atas pentas. Tangan saya juga kejang ketika membuat persembahan pada malam ini.
“Lagu kegemaran saya adalah Gema Di Indraloka namun, saya gagal beri yang terbaik. Saya kecewa dan kurang berpuas hati dengan persembahan saya pada malam ini,” kata Awie kepada peminatnya.
Sungguhpun begitu, Awie enggan menjadikan faktor kesihatannya sebagai alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir bagi menonton persembahan Wings.
“Sakit bukan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik. Minta maaf andai kata saya ada kurang pada mana-mana bahagian. Saya cuba sehabis baik untuk semua.
“Semestinya saya kecewa kerana kami telah berlatih bersungguh-sungguh selama sebulan lebih, malangnya saya tidak sihat pada malam persembahan,” ujarnya.
Dalam Konsert Fabulous Friday yang berdurasi selama dua jam, Wings mempersembahkan sekitar 17 buah lagu.
Antaranya, Satelit Puaka, Kuburkan Aku, Lubuk Pusing, Mabuk 7 Lautan, Aku Pun Tahu, Hukum Karma, Jerangkung Dalam Almari, Jumpa Hilang, Gema Di Indraloka, Sekeping Kertas Bermaruah dan Gemuruh.
Tidak ketinggalan, Wings turut menghiburkan peminat dengan lagu Dalam Kehadiran Sofea, Opera Hidup, Ingatkan Dia, Rock N Roll Lu Punya Suka, Harapan dan Sejati. – KOSMO! ONLINE.