fbpx

Cubaan salah guna 5,000 liter diesel subsidi digagalkan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP sedang memeriksa tangki yang mengandungi diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Helah enam individu mengubah suai tiga buah lori muatan tiga tan untuk menyeludup 5,000 liter diesel terbongkar apabila mereka ditahan polis di sebuah stesen minyak di Jalan Air Putih di sini hari ini.

Kesemua lelaki berusia antara 17 dan 45 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis yang sedang mengadakan rondaan di lokasi kejadian pada pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu rondaan, dua suspek dilihat sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori manakala dua lori lain pula diletakkan di kawasan stesen minyak tersebut.

“Curiga melihat dua lelaki yang mengambil masa lama untuk mengisi diesel, anggota polis tersebut bertindak melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, suspek bukan sahaja didapati mengisi diesel secara berlebihan malah gagal menunjukkan permit untuk membeli bahan api daripada pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati ketiga-tiga tangki lori diubah suai dengan setiap muatan mempunyai empat tangki besar yang boleh mengisi 1,000 liter diesel pada satu-satu sama.

“Lima tangki daripada dua lori penuh berisi diesel. Polis kemudiannya menahan enam individu disyaki anggota sindiket terbabit termasuk seorang pembantu jualan stesen minyak berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujarnya, kesemua bahan kes yang dirampas telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI