PARIS – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe kembali menghuni ranking pertama carta pemain paling berharga di dunia dengan nilai pasaran semasa menakjubkan iaitu €230 juta (RM1.02 bilion).
Nilai itu melebihi jumlah €80 juta (RM356.87 juta) meninggalkan pencabar terdekat di tangga kedua iaitu penyerang baharu Manchester City, Erling Haaland dengan harga semasa €143 juta (RM637.91 juta).
Kedudukan ranking daripada Football Benchmark itu berdasarkan penilaian semasa yang digunakan untuk memantau harga pasaran lebih 8,300 pemain dalam 15 liga terbaik di seluruh dunia.
Menurut Football Benchmark, Mbappe menjadi pemain paling mahal di dunia ketika ini selepas melanjutkan kontraknya bersama PSG sehingga 2025 selain faktor umurnya yang baru berusia 23 tahun.
Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi bintang muda City, Phil Foden yang dianggarkan mempunyai nilai semasa €140 juta (RM624.53 juta).
Selain itu, pemain sayap lincah Real Madrid, Vinicius Junior antara yang menunjukkan peningkatan mendadak sejak Februari lalu apabila kini bernilai lebih dua kali ganda jika dibandingkan dengan permulaan saingan musim lalu.
Situasi sama turut ditunjukkan pemain tengah Borussia Dortmund, Jude Bellingham apabila nilai pasarannya meningkat sebanyak €40 juta (RM178.44 juta) dan melonjak ke ranking kelima di belakang Mbappe, Haaland, Foden dan Vinicius.
Melengkapkan lima lagi senarai 10 teratas ialah pertahanan kiri berpengaruh Liverpool, Trent Alexander-Arnold, Pedri (Barcelona), Ruben Dias (City), Bruno Fernandes (Manchester United) dan Harry Kane (Tottenham Hotspur). – AGENSI