PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersetuju supaya lak (tindakan penutupan) ke atas Rumah Bonda ditanggalkan setelah pengendali premis berkenaan membuat aku janji tidak akan menjalankan fungsi sebagai pusat jagaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Wanita (KPWKM) berkata, berdasarkan subseksyen 16A(3) Akta 506, lak terhadap premis tersebut hanya boleh ditanggalkan dengan perintah mahkamah dan pengendali mestilah berhenti menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan selagi belum berdaftar dibawah Akta 506.
Menurutnya, dalam hal ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini telah membenarkan permohonan pengendali Rumah Bonda untuk menanggalkan lak dengan aku janji bahawa premis tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.
“Jika didapati premis tersebut beroperasi semula sebagai pusat jagaan tanpa pendaftaran yang sah di bawah Akta 506, JKM akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali premis tersebut.
“Malah, pengendali premis juga boleh dikenakan tindakan kerana ingkar perintah mahkamah atau menghina mahkamah (contempt of court),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Berdasarkan fakta, Rumah Bonda adalah premis yang tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] sekali gus menjadi satu kesalahan di bawah akta yang sama.
Susulan daripada itu, tindakan lak terhadap premis berkenaan telah diambil pada 12 Julai 2021 selaras dengan seksyen 16A Akta 506.
Malah, kertas siasatan juga telah dibuka dan tindakan kompaun telah diambil selaras dengan seksyen 21A Akta 506 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan Pendakwa Raya berdasarkan fakta-fakta kes yang jelas. -KOSMO! ONLINE