BEBERAPA hari lalu tular video memaparkan seorang artis yang menghisap rokok elektronik atau vape ketika sesi temu bual.
Artis berkenaan dilihat menghembus asap vape berselang seli jawapannya kepada wartawan. Jika dilihat pastinya asap tersebut terkena pada mereka yang berada di hadapannya.
Situasi itu disifatkan kurang sopan oleh netizen yang meminta artis berkenaan lebih cakna kepada soal kesihatan sesama manusia.
Mungkin ramai yang menganggap ia perkara normal dan tiada apa yang perlu dijadikan isu kerana pada masa kini rata-rata ramai yang menghisap vape.
Namun, tindakan itu sebenarnya tidak manis, alangkah baik jika kita menghormati sesama manusia dengan berhenti seketika dan menyambungnya semula seusai sesi temu bual dijalankan.
Sebelum ini, pernah juga seorang YouTuber muda popular yang juga seorang pelakon baharu dilihat kurang beradab apabila kisah kematian penyanyi Siti Sarah dijadikan ‘content’ dalam salurannya semata-mata demi mengejar ‘view’.
Tindakan lelaki berusia 22 tahun itu pantas menuai kecaman bertubi-tubi daripada netizen yang menyelar perbuatannya sebagai langsung tidak menjaga sensitiviti keluarga si mati.
Satu pertanyaan yang timbul adalah di mana letaknya adab si pelaku ketika penggambaran video di tanah perkuburan dijalankan.
Bagi penulis, siapapun kita dan setinggi manapun pangkat atau jawatan kita di dunia ini, kita perlu menghormati sesama manusia dan meletakkan adab di tempat yang tertinggi.
Mengulas mengenai perihal adab, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, adab mencerminkan keperibadian seseorang.
Ujarnya, saban hari yang kita lalui, ada adab yang kita perlu jaga dan perlu peka tanpa hentam semberono.
“Secara umum, adab itu sebenarnya tidak perlu diajar apatah lagi dipupuk kerana ia secara semula jadi akan wujud dalam diri insan yang bergelar manusia.
“Kalau kita lihat mutakhir ini, adab ini bagaikan tidak ada maknanya. Adab menjadi satu perkara yang semakin hilang, jatuh dan tiada nilai,” ujarnya.
Seorang Pakar Psikologi, Dr. Meriam Omar Din berkata, adab sama seperti iman yang mana tidak akan dapat diwarisi daripada seorang ayah kepada generasi seterusnya.
Katanya, adab apabila bercakap dan tindak-tanduk perbuatan yang dilakukan dengan manusia perlu diutamakan bagi memastikan tiada sesiapa yang akan tersakiti di belakang hari.
“Pastikan kata-kata dan perbuatan kita adalah yang baik-baik tanpa menzalimi atau menyakiti insan lain bergelar manusia. Adab ini kita sendiri yang jaga, tanpa diwarisi.
“Mungkin cara kita dianggap biasa-biasa sahaja atau sekadar gurauan kosong, tetapi tidak semuanya boleh menerima atau selesa dengan perkara yang kita lakukan lebih-lebih lagi melibatkan soal adab,” ujarnya.