Baru-baru ini timbul semula kisah jemaah haji terkandas di KLIA.
Seramai 380 bakal jemaah itu dijanjikan peluang untuk ke Mekah dan mengerjakan rukun Islam yang kelima. Maka mereka pun tibalah dari seluruh Malaysia di KLIA bersama sanak saudara dengan niat dan harapan untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini.
Lengkap dengan ihram, pakaian, keperluan lain dan ilmu di dada bahawa kali ini mereka akan bersama satu juta umat Islam dari seluruh dunia bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah.
Namun, harapan itu tinggal harapan. Setelah beberapa hari penundaan dan tiada kelibat tiket kapal terbang dan visa, akhirnya 380 jemaah ini menjadi mangsa agensi pengurusan.
Kerugian yang ditanggung bakal jemaah mencapai lebih RM4 juta. Ada jemaah menghabiskan wang KWSP. Ada bergolok bergadai. Ada menjual pelbagai harta kesayangan. Pengakhiran diharapkan tidak datang.
Tiada kapal terbang. Tiada visa. Yang ada hanya kesedihan. Perasaan ditipu dan dikhianati menyelubungi bakal jemaah dan ahli keluarga.
Isu jemaah ditipu sama ada haji atau umrah bukan perkara baru. Ia berlaku saban tahun kecuali sepanjang tempoh Covid-19. Sebelum ini, isu visa furada sering dipaparkan media. Ada kisah jemaah yang telah sampai di lapangan terbang di Jeddah hanya untuk mengetahui bahawa visa mereka tidak laku dan diminta pulang ke Malaysia.Sukar untuk menggambarkan kekecewaan mereka ini.
Persoalannya mengapa ia tetap berlaku walaupun pelbagai peringatan dan amaran diberikan sama ada Tabung Haji atau pihak berkuasa. Bukankah sudah diumumkan nama-nama syarikat yang dibenarkan menguruskan jemaah haji setiap tahun? Adakah masyarakat kita terlalu mudah terperdaya kerana keinginan terlalu tebal untuk mengerjakan ibadah?
Pada masa lalu, ramai jemaah termasuk yang mahu mengerjakan umrah ditipu agensi. Cuma kebanyakan masa mangsa memilih berdiam diri. Sama ada dari kampung atau bandar, pendidikan rendah atau tinggi, ramai memilih mendiamkan diri dan berkata “ini ketentuan Allah dan tiada rezeki” walaupun mereka kerugian puluhan ribu ringgit simpanan. Mungkin juga pada masa lalu, mangsa yang tertipu terasa malu kerana apa yang berlaku. Maka mereka redakan sahaja.
Dalam kes terbaru, kebanyakan mangsa membuat laporan polis berikutan liputan meluas mengenai kejadian itu. Pihak berkuasa juga mengambil tindakan pantas terhadap agensi terbabit.
Isu penipuan haji dan umrah ini sudah terlalu lama berlaku. Sudah terlalu ramai yang tertipu. Penyelesaian segera diperlukan termasuk menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tetapi cara termudah bagi menangani masalah ini adalah pengguna itu sendiri. Mereka harus faham bahawa mereka bertanggungjawab untuk mengelakkan diri daripada tertipu. Nama syarikat yang dilantik telah tersedia.
Jangan mudah terpedaya dengan janji manis syarikat yang kononnya mereka boleh mendapatkan visa. Setidak-tidaknya, periksa dengan Tabung Haji. Penipuan haji dan umrah ini mesti dihentikan kerana ia bukan hanya menyebabkan kerugian. Ia sendiri mencemarkan nama Islam dan ibadah rukun Islam kelima itu sendiri.