PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan sebanyak lima buah balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu bakal siap dibina menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesemua balai tersebut akan dapat beroperasi dengan baik bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk sekitar.
“Dua daripada BBP berkenaan masing-masing akan terletak di Sarawak dan Semenanjung manakala baki sebuah lagi di Sabah,” katanya ketika ditemui para pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima bendera JBPM sebagai Timbalan Chief de Mission ke Sukan Polis dan Bomba Sedunia 2022 di Rotterdam, Belanda yang berlangsung mulai 22 Julai nanti
Seramai 41 pegawai JBPM akan menyertai temasya dwitahunan itu dalam lima jenis permainan dengan sasaran kali ini untuk membawa pulang sejumlah sembilan pingat emas.
Mohammad Hamdan berkata, ketika ini terdapat 325 buah BBP di seluruh negara dengan kekuatan keseluruhan 15,000 orang namun jumlah itu masih agak kurang kerana JBPM memerlukan secara ideal 500 buah BBP.
Keperluan pembinaan sesebuah balai baharu itu dilakukan berdasarkan 21 kriteria antaranya jumlah penduduk, bilangan bangunan dan kekerapan panggilan kecemasan di kawasan itu.
Menyentuh perancangan 15 buah BBP lagi, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam proses penilaian kerana ada yang dikategorikan sebagai projek bermasalah dan terpaksa ditunda.
“Justeru hanya lima BBP yang tidak dianggap projek sakit dijangka dapat siap dengan lancar dan terus beroperasi menjelang akhir tahun ini kerana kita akan menerima ramai rekrut baharu,” katanya. -KOSMO! ONLINE