KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengesahkan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse akan diberi jamin polis pada petang ini.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek diberi jamin pada petang ini berikutan siasatan memerlukan kehadiran orang kena tahan (OKT) telah selesai.
“PDRM mengesahkan lelaki tempatan berusia 39 tahun yang ditahan semalam dan telah dibenarkan reman selama sehari oleh majistret pada hari ini sebelum diberi jamin polis pada petang ini.
“Penahanan tersebut dilakukan bagi membantu siasatan mengenai penularan dua klip video di sebuah kelab komedi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) baru-baru ini.
Sumber memaklumkan, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah lokasi di ibu negara dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.
Difahamkan, tangkapan dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) di sebuah kelab di TTDI, Kuala Lumpur.
Susulan insiden berkenaan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai lalu manakala teman lelakinya turut ditahan pada 10 Julai. – KOSMO! ONLINE.