fbpx

Isu inai dibandingkan, Che Ta kata buat apa nak gaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGGAN orang ramai terus berbalah, Che Ta menasihatkan peniaga di luar sana agar mencari rezeki dengan cara yang betul dan tidak perlu mengecam jenama lain.

PETALING JAYA – Pelakon terkenal Rozita Che Wan menegaskan orang ramai tidak perlu bertelagah dan membuat perbandingan mengenai isu beberapa jenama inai yang dijual oleh selebriti tanah air.

Menurutnya yang mesra disapa sebagai Che Ta, dia mahu para penjual agar berniaga dengan jujur dan tidak perlu mengutuk mahupun mengecam jenama lain.

“Rezeki Allah sangat luas buat apa nak gaduh dan sakitkan hati sesama sendiri. Anda pun kalau kek yang besar tu nak makan sorang takkan habis, mesti kena kongsi dengan orang lain.

“Che Ta ialah Che Ta, tolong jangan bandingkan dengan orang lain. Berniagalah dengan cara yang jujur, takkan nampak hebat pun kalau anda asyik kutuk atau jatuhkan orang lain. Setiap rezeki kan sudah tertulis,” katanya dalam satu entri Instagram hari ini.

Tambahnya, bidang perniagaan sangat luas dan tidak seharusnya menjadi rebutan sehingga boleh menjatuhkan orang lain.

“Mudah saja sebenarnya, kita berniaga dan dapat rezeki sama-sama.

“Rezeki untuk dikongsi bukan untuk dibolot seorang. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua,” jelasnya.

Isteri kepada pelakon Zain Saidin itu memberitahu, orang ramai boleh membeli inai jenamanya sekiranya ingin kuku mereka berwarna merah hati yang dijual dengan harga murah.

“Kalau nak inai warna merah hati ala-ala bunga ros segar, pakailah inai Che Ta. Kalau nak inai selain warna yang kami buat, jenama lain juga ada. Tak ada hal pun anda nak kongsi.

“Kami tak kacau sesiapa dan inai ini hanya dijual pada harga RM15 sebab mahu semua dapat merasa pakai inai Che Ta,” katanya lagi.

Hantaran tersebut seterusnya mendapat reaksi daripada ramai pihak termasuklah golongan selebriti seperti aktres terkenal, Fazura yang memuji harga mampu milik inai tersebut.

“Baru nak buka (pakai). Terima kasih Che Ta sebab ingat saya dan jual pada harga murah untuk semua saudara kita,” kata isteri kepada aktor, Fattah Amin itu.

Minggu ini, isu inai menjadi antara bahan bualan hangat apabila ada yang melahirkan rasa kecewa sesetengah jenama inai tidak memberi hasil menarik pada kuku mereka.

Selain Che Ta, selebriti lain yang turut menjual produk sama ialah Neelofa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI