fbpx

Peminat fanatik Indonesia terbang ke Malaysia demi Meerqeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEERQEEN mengakui adakalanya dia berasa kurang selesa dan 'seram' kerana peminat Indonesia lebih ekstrem dan 'gila' berbanding kelompok peminatnya di sini.

PETALING JAYA – Gara-gara fenomena naskhah Melur Untuk Firdaus yang tular sehingga ke Indonesia, terdapat peminat fanatik dari negara tersebut sanggup terbang ke Malaysia semata-mata untuk bertemu dengan hero drama berkenaan, Meerqeen.

Gembira dengan kesanggupan peminat tersebut, pada masa sama pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam itu bagaimanapun mengakui berasa sedikit ‘seram’.

“Ada peminat dari Indonesia sanggup terbang ke Malaysia untuk bertemu dengan saya di Karnival Jom Heboh di Putrajaya baru-baru ini. Saya tidak tahu pada awalnya sebelum diberitahu mereka datang ke sini (Malaysia) untuk berjumpa saya.

“Mahu tidak mahu, saya perlu luangkan masa kerana mereka sudah berkorban sehingga sanggup datang ke Malaysia.

“Saya gembira menyambut kehadiran peminat dari Indonesia, tapi bila difikirkan semua, rasa seram pun ada juga,” kata Meerqeen kepada Kosmo!.

Hal ini kerana, Meerqeen mengakui peminat dari Indonesia lebih ekstrem dan ‘gila’ berbanding peminatnya di Malaysia sehingga adakalanya menyebabkan dirinya berasa kurang selesa.

“Tak dinafikan peminat dari negara seberang lebih ekstrem dan ‘gila’ berbanding peminat di Malaysia. Mungkin sebab di sini, ada peminat yang pernah bertemu dengan saya.

“Jadi keterujaan itu berbeza. Peminat Indonesia memang ‘gila’, namun saya teruja dengan sambutan peminat di sana kerana saya tidak merasakan pengalaman sebegitu di Malaysia,” ujarnya.

Ketika disoal tentang pengalamannya berdepan dengan peminat fanatik, Meerqeen yang ditemui ketika majlis pelancaran Wajah Baharu Minuman Spritzer di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, semalam berkata, dia sudah biasa berdepan dengan kerenah peminat sebegitu sejak dahulu.

Dia juga sedar ada kategori peminat perlu dilayan dengan baik ataupun sebaliknya.

“Kalau setakat keluar makan itu biasa. Paling ekstrem, ada peminat memiliki patung (miripnya) yang sama saiz dengan saya. Tapi itu gara-gara fenomena drama Angkara Cinta pada 2020. Memang agak menyeramkan,” katanya.

Bagaimanapun, bekas peserta Pencarian Hero Remaja 2019/2020 itu mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan jika berdepan dengan peminat yang ‘aneh-aneh’.

Dalam pada itu, Meerqeen mengakui terbuka jika diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya lakonan ke negara seberang.

“Insya-Allah jika diberi peluang dan mendapat tawaran di Indonesia, saya teringin juga ingin mencuba nasib di sana. Lagipun pasaran di Indonesia lebih besar berbanding Malaysia.

“Kalau ikutkan saya sudah ada perancangan, cuma saya tidak berani untuk bercakap lebih.

“Saya juga perlu berkorban masa kerana seperti yang kita tahu, sinetron di sana memakan sehingga beratus-ratus episod. Tapi saya yakin saya boleh lakukannya,” kata Meerqeen.

Terdahulu, nama Meerqeen tiba-tiba meledak sehingga ke Indonesia gara-gara drama berjudul Melur Untuk Firdaus yang ditayangkan menerusi TV3.

Ujar pelakon berwajah ‘oppa’ itu lagi, dia bukan sahaja mengumpul peminat dari Indonesia, bahkan dari beberapa buah negara lain seperti Thailand, Filipina termasuk dari Maghribi serta Mesir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI