PADANG BESAR – Hari pertama pelancaran tren ulang alik Padang Besar-Hatyai mampu merancakkan sektor pelancongan Malaysia-Thailand yang sebelum ini dilihat suram selepas lebih dua tahun tidak beroperasi.
Tinjauan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar mendapati orang ramai beratur di kaunter tiket State Railway of Thailand (SRT) sejak pukul 8 pagi tadi untuk menuju ke Hatyai.
Tren pertama SRT empat gerabak dari Hatyai tiba di stesen KTMB tiba pada pukul 9.25 pagi dengan membawa 60 orang pelancong antarabangsa dari Thailand.
Tren sama kemudian berlepas ke Hatyai dengan membawa 72 pengembara dan pelancong dari Malaysia ke negara Gajah Putih itu.
Menurut seorang pelancong dari Milan, Itali, Stefania Nicoli, 39, berkata, perjalanan menggunakan kereta api dari Hatyai ke Padang Besar sangat lancar.
“Perkhidmatan tren ini dan layanan kakitangan dua negara juga sangat baik dan dan suami akan menggunakan perkhidmatan KTMB menuju ke Pulau Pinang.
“Kami mungkin akan menghabiskan masa selama tiga bulan melawat beberapa tempat menarik di Malaysia termasuk Kuala Lumpur sebelum ke Indonesia,” katanya ketika ditemui di Stesen KTMB Padang Besar di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pelancong tempatan, Hawa Najiha Md. Rashid, 23, dari Kedah berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk melancong ke Thailand menaiki tren ulang-alik selepas melihat iklan perkhidmatan itu kembali beroperasi.
“Saya dan beberapa orang rakan telah merancang untuk melancong ke Hatyai dan Koh Lipe menggunakan van mini sebelum ini namun terus menukar rancangan selepas tahu perkhidmatan tren ulang alik ini dibuka.
“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, saya pernah menggunakan perkhidmatan kereta api untuk melancong ke sana kerana ia memberi pengalaman berbeza dan perjalanan lebih lancar,” kata pekerja swasta itu. – KOSMO! ONLINE