COLOMBO – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dilaporkan menghantar surat peletakan jawatan beliau melalui e-mel, lapor laman berita RT semalam.
Beliau menghantar surat rasmi berkenaan kepada Speaker Parlimen Sri Lanka.
Bekas presiden itu kini berada di Singapura selepas meninggalkan Sri Lanka dengan menaiki jet tentera ke Maldives.
Surat peletakan jawatan itu pada asalnya, dijadualkan untuk diserahkan pada Rabu lalu.
Namun, ia dihantar melalui e-mel kepada Speaker Parlimen Sri Lanka sejurus selepas Rajapaksa tiba di Singapura semalam, demikian menurut media tempatan.
Rajapaksa telah dihalang daripada meninggalkan negaranya oleh kakitangan lapangan terbang awal minggu ini sebelum dia melarikan diri dengan menaiki pesawat tentera.
Terbaharu, beliau dipercayai akan berangkat ke Arab Saudi sebagai negara persinggahan ketiganya dalam usaha melarikan diri daripada didakwa di Sri Lanka.
Rajapaksa dipercayai meninggalkan Sri Lanka sebelum meletak jawatan bagi mengelak kemungkinan ditahan sebaik sahaja kuasa presidennya tamat dan beliau tidak lagi kebal daripada ditangkap.
Di bawah kepemimpinan Rajapaksa, Sri Lanka telah muflis, gagal membayar hutang pinjaman asingnya sejak Mei lalu. Colombo juga melaksanakan catuan bahan api awal bulan ini. -Agensi