PORT DICKSON – Orang ramai dinasihat agar tidak beriadah di kawasan persisiran pantai di daerah ini ketika fenomena air pasang besar dijangka berlaku sehingga 17 Julai ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Azizee Alias berkata, kawasan pesisir terlibat termasuklah di Pantai Telok Kemang yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah.
“Pihak bomba telah menjalankan rondaan bermula pukul 6.30 petang tadi. Hasil pemantauan mendapati kawasan persisiran pantai tidak ramai pengunjung dan juga tiada aktiviti perkhemahan.
“Saya menasihatkan org ramai supaya berhati-hati dan menghindari daripada melakukan aktiviti di kawasan pantai sepanjang fenomena air pasang besar ini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azizee, seramai lima orang anggota bomba ditugaskan untuk melakukan rondaan sehingga 17 Jula ini.
Pusat Hidrografi Nasional (PHN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penduduk di kawasan persisiran pantai di seluruh negara dinasihat agar berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini.
Fenomena itu berlaku disebabkan dipengaruhi oleh daya tarikan graviti bulan dan matahari. – KOSMO! ONLINE