KANGAR – Lokasi gua tempat seorang pemuda ditemui selepas dilaporkan hilang sejak enam hari lalu terletak kira-kira 2.5 kilometer dari dusun durian tempat dia bekerja dekat Sungai Batu Pahat di sini.
Mangsa, Zulhelmi Abdul Halim, 28, ditemui berlindung di dalam gua di kawasan Wang Leret, Sungai Batu Pahat kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi dan mengambil masa empat jam untuk dibawa turun dari kawasan berbukit tersebut.
Dia dipercayai mencari perlindungan di dalam gua itu ekoran hujan lebat dan angin kencang di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
Mangsa ditemui dalam keadaan lemah serta mengalami kecederaan dipercayai terseliuh pada kaki kanan dan dikatakan bertahan dengan makan buah-buahan serta minum air hujan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa ditemui di dalam gua berkenaan yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari dusun durian.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini bagi mengetahui punca sebenar kehilangan mangsa,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE