WANITA hanya perlu diberi ruang dan peluang untuk mereka berjaya dalam setiap kerjaya yang diceburi.
Itu yang menjadi prinsip Karen Marcel Leiking yang kini menjawat jawatan penting sebagai Pengurus Kanan, Pembangunan Penerbangan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Baginya, dia amat bertuah kerana berpeluang membina kerjaya dalam industri yang secara umumnya didominasi oleh golongan lelaki.
Karen berkata, industri penerbangan sejak dahulu sememangnya dikuasai oleh lelaki dan dia tidak terlepas daripada cabaran untuk bekerjasama dengan mereka.
“Saya masih ingat sewaktu ditugaskan untuk mengetuai projek Entry Into Service (EIS) pesawat yang banyak dikuasai jurutera pesawat dan pasukan operasi penerbangan daripada kaum Adam.
“Saya bimbang pada mulanya jika tidak mendapat kerjasama seperti dikehendaki, namun berasa lega selepas pasukan saya memberikan komitmen 100 peratus dalam melaksanakan tugas itu,” katanya.
Sepanjang berkhidmat, ujar Karen, dia dapat menimba banyak ilmu dan pandangan berharga daripada staf lelaki.
Disebabkan itu, baru dia menyedari mungkin terdapat lebih banyak bias dari segi umur daripada bias jantina dalam industri berkenaan.
Namun begitu, saya berbesar hati untuk mengatakan, industri ini membuka peluang lebih besar untuk wanita.
Sementara itu, Karen berkata, dia sangat bertuah kerana berpeluang untuk mengenali dan bekerja dengan wanita yang memberi inspirasi sepanjang kerjayanya.
Mereka menyuntik semangat dan keazaman kepada saya untuk bekerja dengan gigih.
“Bekas pengurus saya merupakan inspirasi terbesar saya.
“Kerja keras, kekuatan watak dan kepimpinannya mendorong saya untuk menyumbang kepada industri dan membawanya ke tahap lebih tinggi.
“Selain itu, saya tidak boleh melupakan pasukan yang bekerja keras ketika berlakunya tragedi yang tidak terduga iaitu MH370 dan MH17.
“Mereka telah memberi impak kepada kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.
Menyentuh soal kerjayanya, Karen memberitahu, di Mavcom dia membantu menguruskan program Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
“RAS adalah perkhidmatan udara yang penting untuk menghubungkan penduduk di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan bahagian lain di negara ini,” jelasnya.
Di samping itu katanya, dia turut menguruskan inisiatif melibatkan pihak berkepentingan di kedua-dua negeri terbabit, terutamanya daripada perspektif melibatkan kepentingan pengguna.
Sebagai seorang yang berasal dari Sabah, pengalaman sebegitu benar-benar bermakna buatnya dan bersyukur kerana dapat menyumbang kepada masyarakat di sana.
Berbicara penglibatannya dalam industri penerbangan, Karen memaklumkan dia melibatkan diri dalam bidang tersebut pada 2005 apabila mula bekerja di Jabatan Pengiklanan dan Promosi Malaysia Airlines.
Selain itu, dia juga bekerja di Jabatan Jualan Korporat untuk syarikat sama.
“Semasa saya bersama Malaysia Airlines, saya bekerja di bawah pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan sebagai sebahagian daripada pejabat Pengurusan Pemulihan dan Pengurusan Transformasi.
“Saya dilantik sebagai salah seorang ketua projek di pejabat Pengurusan Penstrukturan Semula yang diamanahkan untuk menstruktur semula syarikat dan mentransformasikannya kepada yang baharu,” ujarnya.
Selepas itu, dia bekerja sebagai Pengurus Kanan di pejabat CEO Kumpulan dari 2015 hingga ke 2018.
Setelah berada dalam industri penerbangan selama lebih 10 tahun, dia menyertai Mavcom pada 2018 sebagai Pengurus Kanan dan kini bertugas di Unit Pembangunan Penerbangan.
Sejak itu, dia menjadi sebahagian daripada pasukan yang membangun dan melaksanakan inisiatif untuk memajukan industri penerbangan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.