MANCHESTER – Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson melabel mana-mana pemain yang menolak tawaran kelab itu sebagai buta sejarah meskipun sedar situasi sebelum ini jauh berbeza dibandingkan dengan keadaan semasa.
The Red Devils kini berdepan masalah untuk cuba membawa masuk pemain-pemain baharu menyertai revolusi kelab di bawah kendalian Erik ten Hag susulan prestasi buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu hingga terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah.
Salah seorang yang dimahukan Ten Hag ketika ini adalah bekas anak buahnya, Frenkie de Jong dan beliau turut memberi jaminan minit permainan kepada bintang Belanda berkenaan.
Malangnya, bekas pemain tengah Ajax itu terus bermain ‘tarik tali’, malah turut meluahkan hasratnya untuk kekal bersama Barcelona ketika ini.
Mengimbau semula ketika berkhidmat bersama United, Ferguson mengakui, beliau pernah cuba untuk mendapatkan Patrick Kluivert pada 1998, namun penyerang itu membuat keputusan kekal di AC Milan sebelum berhijrah ke Barcelona.
Menjadikan situasi itu sebagai contoh, Ferguson tanpa berselindung kecewa dengan penolakan Kluivert dan menyifatkan legenda Belanda tersebut tidak cukup ‘mengenali’ sejarah hebat The Red Devils.
“Mungkin dia tidak tahu betapa besarnya Manchester United. Saya terkejut kerana dia tidak beri peluang kepada dirinya untuk bercakap dengan kami ketika itu,” dedah Ferguson.
Ketika ini, Presiden Barcelona, Joan Laporta berdepan tugas sukar untuk menyelesaikan masalah kewangan kelab sehingga terpaksa melabel De Jong, Dani Alves, Philippe Coutinho dan lapan lagi pemain sebagai lebihan pasukan. – AGENSI