PARIS – Kemelut dalaman Paris Saint-Germain membabitkan Neymar dan Kylian Mbappe terus hangat selepas kedua-dua bintang itu dirakam ‘bermasam muka’ ketika menjalani latihan.
Menerusi satu rakaman yang tular, Neymar dilihat tidak mengendahkan Mbappe sekali gus meningkatkan spekulasi bintang Brazil itu akan berkelana mencari kelab baharu pada jendela perpindahan ketika ini.
Laporan akhbar berpengaruh Perancis, L’Equipe turut mendakwa hubungan kedua-dua pemain itu juga semakin keruh dan boleh menjejaskan keharmonian dalam bilik persalinan skuad gergasi Perancis tersebut.
Sebelum ini, Mbappe yang menandatangani kontrak lanjutan dilaporkan diberi pengaruh besar terhadap sebarang keputusan kelab dan laporan terdahulu turut menyebut bintang Perancis itu mahu PSG menjual Neymar kerana masalah disiplin.
Pengerusi PSG, Nasser Al-Khelaifi turut meragui masa depan Neymar dan mendakwa kelab itu enggan lagi bergantung harap kepada bekas penyerang Barcelona tersebut.
“Neymar akan berada dalam senarai projek baharu atau tidak? Kami tidak boleh bercakap mengenai perkara ini secara terbuka kerana ada pemain baharu akan tiba dan ada juga mereka yang akan meninggalkan kelab,” kata Al-Khelaifi.
Sepanjang berkhidmat selama lima musim di PSG, Neymar sudah bermain 92 perlawanan Ligue 1, namun impaknya dalam bilik persalinan semakin menurun ekoran peningkatan prestasi Mbappe dan kehadiran Lionel Messi musim lalu.
Ketika ini, Neymar merupakan pemain yang menerima gaji ketiga termahal di belakang Mbappe dan Messi dan statusnya sebagai perpindahan tertinggi di dunia masih lagi kekal sejak berhijrah ke Parc des Princes.
Sebagai rekod, PSG menggegarkan dunia bola sepak apabila membeli Neymar daripada Barcelona dengan nilai €222 juta (RM988.42 juta) pada 3 Ogos 2017. – AGENSI