fbpx

296 pengunjung pusat hiburan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan 296 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berhibur mengundang padah apabila kesemua mereka dikenakan kompaun di sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Jalil di sini, tengah malam tadi.

Ops Hiburan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah malam itu mendapati premis hiburan berkenaan masih memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mereka yang dikenakan kompaun terdiri daripada 195 lelaki dan 96 wanita yang berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun.

“Selain itu, seorang lelaki tempatan iaitu pengurus premis serta tiga warga asing berusia 18 hingga 21 tahun turut ditahan untuk tindakan lanjut.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan audio, minuman keras dan wang tunai RM606,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 76 Akta Eksais.

Dalam perkembangan sama, Nik Ros Azhan turut memberi amaran kepada pemilik premis hiburan agar tidak operasi dalam tempoh PKPP.

“Mana-mana pusat hiburan yang ingkar peraturan PKPP yang masih melarang pembukaan premis akan dikenakan tindakan tegas,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI