KUALA LUMPUR – Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia (MIRF) 2022 membuka peluang kepada perniagaan runcit dan francais untuk kembali berkembang semula sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan tersebut didokong oleh impak pemulihan industri runcit yang mampan sejak akhir tahun lalu apabila mencatatkan kadar pertumbuhan baik iaitu sebanyak 18.3 peratus bagi suku pertama 2022.
“Jika sebelum ini MIRF telah melakukan transaksi RM80 juta, saya percaya tahun ini kita dapat meningkatkan jumlah tersebut kepada lebih RM90 juta hasil perniagaan serta memberi manfaat kepada lebih ramai pengunjung.
“Justeru, saya berharap usaha ini dapat memberikan peluang untuk perniagaan runcit dan francais di Malaysia kembali berkembang semula,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Zamri Salleh pada Majlis Perasmian MIRF 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Malaysia Retail Chain Association (MRCA) Sharan Valiram berkata, menerusi MIRF, pihaknya komited untuk menjadikan Malaysia sebagai batu loncatan bagi peniagaan runcit dan francais untuk berkembang.
“Daripada usaha ini, kita dapat mengumpulkan pelbagai jenama, organisasi dan pengamal industri dalam satu platform bagi memudahkan proses membina rangkaian selain dapat berurus niaga secara langsung,” ujarnya. KOSMO! ONLINE