SINTOK – Lebih 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima manfaat daripada inisiatif Menu Keluarga Malaysia dengan semua kafeteria di kampus universiti itu di sini menawarkan hidangan pada harga RM3.50.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, baucar makan percuma bernilai RM5 juga diberikan kepada 140 pelajar terpilih daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk membeli makanan di kafeteria di setiap inapan siswa (Inasis) dalam kampus.
Katanya, usaha tersebut dilakukan bagi meringankan beban pelajar sepanjang tempoh pengajian demi menjaga kebajikan golongan itu dalam menangani kenaikan kos sara hidup.
“UUM sentiasa menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebankan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, universiti sentiasa bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa Inapan Siswa serta pemimpin pelajar dalam mendapatkan maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan melibatkan kebajikan pelajar.
“Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM juga akan terus memantau tanda harga makanan dan barangan di semua premis dalam kampus agar tiada sebarang kenaikan harga sewenang-wenangnya sehingga membebankan pelajar terutama daripada golongan B40.
“Di samping itu, kita turut menyahut inisiatif KPT yang memperkenalkan Food Basket Siswa Keluarga Malaysia dengan mengedarkan bakul makanan kepada 450 pelajar B40 secara terus di semua Inasis sejak tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE