fbpx

Dua ditahan insiden bakar jengkaut tidak bayar wang perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LANGAT – Dua lelaki termasuk remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran dua buah jengkaut di tapak projek pemasangan paip gas di tepi jalan Sri Cheeding di sini yang dikatakan tidak membayar wang perlindungan.

Kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun itu ditangkap pada pukul 11.30 malam tadi di sekitar lokasi kejadian.

Kebakaran itu tular menerusi video berdurasi 33 saat di laman aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, berdasarkan siasatan mendapati video itu telah dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok yang menggunakan nama profil ‘Tok Naz’ kira-kira pukul 10 malam hari yang sama.

Katanya, berdasarkan video itu kejadian itu dikatakan melibatkan geng kongsi gelap di sekitar Kuala Langat.

“Polis telah memanggil pemilik akaun Tiktok tersebut untuk mendapatkan keterangan berkaitan kenyataan yang ditularkan.

“Berdasarkan keterangan diambil mendapati pemilik akaun itu hanya mendengar khabar angin sahaja dan tidak dapat mengesahkan kebenaran mengenai punca kejadian yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, setakat ini siasatan dilakukan tidak mengesan sebarang unsur pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap seperti didakwa di dalam video tersebut.

Susulan itu, siasatan lanjut dari pelbagai sudut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca dan motif kejadian tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Mohamad Saidi di talian 013-9311208 / 03-31872222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI