KANGAR – Penduduk di sekitar kawasan Sungai Batu Pahat di sini tidak menolak kemungkinan kehilangan seorang pemuda sejak lima hari lalu di sebuah dusun durian mempunyai kaitan dengan unsur mistik.
Mangsa, Zulhelmi Abdul Halim, 28, dikhuatiri hilang semasa melakukan kerja-kerja membersihkan dusun pada 8 Julai lalu.
Difahamkan dua rakannya yang cuba mencarinya turut terkandas selama satu malam sebelum ditemui selamat pada pagi tadi.
Seorang penduduk dikenali sebagai Sobri, 45, berkata, terdapat beberapa kes kehilangan pernah dilaporkan sekitar kawasan itu sebelum ini, namun kebanyakan mangsa berjaya ditemui dengan selamat.
“Bila masuk kawasan hutan, macam-macam boleh berlaku dan disebabkan itu tidak mustahil jika kehilangan ini ada kaitan dengan mistik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, abang mangsa, Mohd. Helmizan, 44, berkata, ahli keluarga dan rakan mangsa melakukan solat hajat bagi memudahkan pencarian Zulhelmi. – KOSMO! ONLINE