PUTRAJAYA – Langkah Indonesia membekukan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia langsung tidak menjejaskan keperluan tenaga kerja asing di negara ini.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Malaysia masih mempunyai 14 negara sumber lain yang boleh menampung keperluan itu.
“Kita ada ramai warga asing yang mahu datang duduk bekerja di sini. Setakat ini, jumlah tenaga kerja asing terbesar adalah dari Bangladesh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Indonesia, Malaysia turut memperoleh tenaga kerja asing daripada Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.
Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan Indonesia akan membekukan sementara kemasukan semua pekerja ke Malaysia serta merta.
Ia susulan pelanggaran syarat-syarat dalam memorandum persefahaman (MOU) pekerja domestik antara kedua-dua negara yang ditandatangani tiga bulan lalu.
Hermono berkata, surat itu menyebut pelanggaran terma dalam MOU mengenai pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 1 April. – KOSMO! ONLINE