BANGKOK – Kekalahan 0-4 kepada Manchester United dalam aksi pramusim di Stadium Rajamangala kelmarin langsung tidak menghadirkan detik cemas kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, keutamaan Klopp lebih menjurus kepada memberi peluang beraksi apabila menyaksikan 32 pemain diturunkan sepanjang 90 minit termasuk dua muka baharu iaitu Darwin Nunez dan Fabio Carvalho.
“Perlawanan ini hadir terlalu awal buat kami tetapi kita juga dapat lihat banyak perkara baik yang dilakukan oleh pemain.
“Ada beberapa situasi kami tidak begitu bagus dalam aspek penyudah dan memberi peluang kepada pasukan lawan. Saya benci apabila kalah tetapi setiap pemain sudah dapat bermain 30 minit,” kata Klopp.
Esok Liverpool akan menamatkan kunjungan ke Asia dengan menentang Crystal Palace di Singapura sebelum kembali ke Eropah apabila dijadualkan mengharungi dua aksi persahabatan bertemu RB Leipzig dan Red Bull Salzburg.
Pada masa sama, Klopp mengakui, faktor jurang masa dan jadual padat memberikan kesukaran kepada para pemainnya, namun tetap menghamburkan pujian kepada peminat-peminat pasukan itu di Thailand khususnya di Stadium Rajamangala.
“Ia agak sukar kerana tempohnya agak singkat. Sekarang kami akan ke Singapura dan saya fikir tempoh penerbangan dua jam setengah mungkin tidak akan memberi impak besar kepada kami.
“Saya jangka suasana di Singapura hampir sama dengan apa yang kami terima di sini. Saya harap segalanya dipermudahkan buat kami,” jelasnya. – AGENSI