BESUT – Seorang lelaki meninggal dunia kerana sesak nafas dipercayai akibat tercekik cebisan tulang daging korban di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jertih di sini semalam.
Mangsa, Wan Azlan Wan Ishak, 28, yang dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital itu pada pukul 5.50 petang.
Kakaknya, Wan Suria Wan Ishak, 32, berkata, arwah adiknya, Wan Azlan telah memanaskan singgang daging korban di dapur pada pukul 5.15 petang.
“Sewaktu adik (Wan Azlan) sedang makan (singgang daging), dia tiba-tiba meronta-ronta meminta pertolongan dan mengadu sesak nafas.
“Saya cuba membantu tetapi tidak berjaya sebelum dia tidak sedarkan diri tidak lama kemudian,” katanya di sini hari ini.
Wan Suria berkata, adiknya, Wan Azlan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.50 petang.
“Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Landak, Jertih di sini pada pukul 12 tengah malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE