Oleh NOR AINNA HAMZAH
PORT DICKSON – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan menyiasat kesahihan video yang tular di media sosial berkenaan kewujudan buaya di perairan Port Dickson.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung penemuan buaya berkenaan.
“Kita akan siasat video tular berkenaan terlebih dahulu sebelum mengesahkan ia berlaku di kawasan perairan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi dekat sini tadi.
Dua hari lalu, pengguna twitter dengan akaun Shafik Jaafar berkongsi video berdurasi 16 saat berkenaan kelibat seekor buaya yang mendapat tontonan lebih 148,200 di Twitter.
Perkongsian pengguna twitter berkenaan yang dipercayai pekerja luar pesisir pantai diulang ciap lebih 5,400 kali dan mendapat tanda suka melebihi 4,700 kali.
Sementara itu, pengguna Twitter dengan akaun The Danial menyatakan buaya air masin berkenaan sering dilihat di kawasan teluk ombak tujuh beradik berdekatan Rumah Api Tanjung Tuan.
Pengguna akaun dengan nama Papa Jerung #NeverBackDown pula menyatakan pesisir pantai Port Dickson sehingga Pengkalan Balak, Melaka sememangnya terkenal dengan buaya air masin. – K! ONLINE