IPOH – Empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.02 petang dengan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi, bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler dengan empat mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Mangsa yang tersepit seorang lelaki dan tiga wanita. Anggota bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE