PETALING JAYA – Fenomena Supermoon dijangka berlaku pada pukul 5.09 petang hari ini akan dapat disaksikan kedudukan bulan yang berada paling hampir dengan bumi.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerusi hantaran dalam laman sosialnya berkata, kejadian dikenali Supermoon itu menyaksikan saiznya tujuh peratus lebih besar daripada bulan penuh biasa.
“Semasa fenomena alamiah ini, bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding keadaan ‘Micromoon’ ketika paling jauh daripada bumi,” jelasnya lagi.
“Ketika berada paling hampir dengan Bumi, Bulan juga akan dikenali sebagai ‘Super Full Moon atau Super New Moon’,” katanya.
Lebih menarik, kejadian kali ini turut disebut sebagai Supermoon ‘Buck’ kerana imejnya yang seperti tanduk rusa jantan dengan merujuk gelaran diberikan petani pribumi di Amerika Utara.
Dalam pada itu, MYSA menjelaskan, bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit berbentuk elips dengan purata nilai keeksentrikan 0.0549 (ukuran pemanjangan sesebuah elips).
Oleh itu, purata jarak bulan dari bumi (pusat ke pusat) adalah berbeza-beza pada setiap masa dengan jarak purata paling dekat (disebut sebagai perigee) adalah 363,396 kilometer (km) dan jarak purata paling jauh (disebut sebagai apogee) adalah 405,504 km. – KOSMO! ONLINE