PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di negeri-negeri utara Semenanjung sehingga esok.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, ramalan tersebut adalah berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).
“Angin kencang baratan boleh menghasilkan garis badai yang membawa bersama hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di negeri-negeri utara Semenanjung.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Kedua dan Ketiga) juga telah dikeluarkan di Laut China Selatan, Phuket dan Selat Melaka Utara berkuat kuasa sehingga 15 Julai nanti,” katanya hari ini.
Menurut MetMalaysia, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE