fbpx

Pulau Pinang perlu gantikan projek LRT kepada bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHIN Kah (kiri) dan Heap Seng (kanan) pada sidang akhbar di Pejabat MCA, George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang disaran menggantikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) kepada sistem Transit Aliran Bas (BRT) yang berupaya menjimatkan kos serta lebih sesuai bagi penduduk di pusat bandar ini.

Setiausaha MCA Pulau Pinang, Yeoh Chin Kah berkata, BRT dapat dibangunkan dengan kos yang lebih rendah, cepat dibina dan mempunyai liputan yang lebih luas daripada LRT malah mampu menggalakkan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal di bandar.

”Jika kerajaan negeri melabur kira-kira RM4.4 bilion untuk projek BRT, kerajaan negeri boleh membina 426 kilometer lorong bas BRT, tetapi kerajaan hanya boleh membina 40 kilometer untuk LRT atau 14 kilometer MRT bertingkat dengan jumlah wang yang sama.

”Lorong BRT boleh menggerakkan lebih ramai orang daripada lorong kereta, lorong kereta hanya boleh menggerakkan 4,500 orang dalam tempoh sejam dalam satu arah, tetapi lorong BRT boleh menggerakkan sehingga 10,000 orang sejam dalam satu arah,”katanya pada sidang akhbar di Pejabat MCA di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek LRT Bayan Lepas telah mendapat kelulusan daripada agensi-agensi teknikal utama seperti Jabatan Alam Sekitar serta PLAN Malaysia dan kini sedang dalam proses mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi jajaran LRT di atas projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR) termasuk depot LRT di Pulau A, PSR.

Menurut Chin Kah, pembinaan sistem BRT itu boleh disiapkan hanya dalam tempoh setahun dan kerajaan negeri juga boleh menanggung kos projek BRT tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat.

”BRT juga boleh dibina dengan mempunyai fungsi LRT termasuk tempat letak kereta bertingkat, malah BRT juga boleh dibangunkan dengan dilengkapi sistem untuk mengesan bilangan orang yang menunggu di setiap stesen bagi melaraskan kekerapan bas,”katanya.

Dalam pada itu, jurucakap MCA Pulau Pinang, Tang Heap Seng berkata, BRT juga boleh menggunakan tenaga elektrik yang mesra alam dan bas mini juga boleh dicadangkan untuk membawa penumpang dari setiap stesen BRT ke tempat tumpuan paling dekat dengan rumah kediaman penumpang.

”LRT membazir lebih banyak tenaga dan lebih bising, malah pengangkutan percuma bagi warga emas, orang kurang upaya dan pelajar boleh disediakan oleh BRT dengan mudahnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI