PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan maklumat cuaca berkaitan dua ribut bertembung yang tular di media sosial.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, penularan maklumat tersebut adalah palsu.
“Sistem tekanan rendah yang terbentuk di pantai timur India dijangka bergerak perlahan ke barat memasuki daratan India.
“Sistem ini akan menyebabkan tiupan angin yang kencang dan lembapan bertumpu di sekitar kawasan berkenaan dan tidak akan memberi kesan kepada negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, MetMalaysia ingin menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta Hotline di talian 1-300-22-1638,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE