PETALING JAYA – Penyanyi yang juga usahawan popular Mila Jirin percaya berkat bakti memuliakan kedua-dua ibu bapa mendatangkan ganjaran rezeki buatnya apabila berjaya memiliki sebuah kereta baharu jenis BMW X5 baru-baru ini.
Mila atau nama lengkapnya Norsyarmilla Jirin, 33, berkata, awal tahun baru-baru ini dia ada menghadiahkan ibu bapanya sebuah kereta Proton X70 dan belum sampai hujung tahun, Allah menurunkan hadiah berganda buatnya menerusi sebuah kereta BMW X5.
“Alhamdulillah. Awal tahun kami hadiahkan mak dan ayah sebuah kereta Proton X70. Alhamdulillah, tengah tahun Allah SWT hadiahkan pula buat kami BWM X5,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.
Ujar bekas juara program realiti Akdemi Fantasia musim kelima (AF5) itu, dia yakin dengan konsep rezeki jika seseorang anak itu berbakti dan memuliakan orang tua mereka.
“Pembelajarannya, berbaktilah kepada mak dan ayah. Rezeki melimpah-ruah. Insya-Allah dengan izin Allah SWT,” tulisnya.
Perkongsian positif pelantun lagu Persis Mutiara itu turut mendapat perhatian pengikutnya dalam Instagram apabila rata-rata turut tumpang gembira dengan rezekinya membeli sebuah kereta berjenama mewah.
“Alhamdulillah rezeki buat Mila dan suami. Sebab kalian selalu memberi. Semoga terus diberikan rezeki yang berlipat ganda,” doa seorang peminatnya.
“Alhamdulillah dua tahun tidak berniaga. Akhirnya dapat rezeki baharu dari-Nya,” kata seorang lagi pengguna Instagram.
“Syukur. Semoga rezeki Mila dan suami terus melimpah,” kata seorang netizen.
Sementara itu, hasil semakan Kosmo! Online mendapati harga pasaran bagi sebuah kereta jenis BMW X5 tidak kurang mencecah harga antara RM480,800 hingga RM618,800 seunit.
Sekadar info, pada tahun lalu, Mila pernah menyuarakan rasa bimbang dan sedih apabila mengenangkan nasib para peniaga termasuk dirinya apabila kerajaan meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mei 2021.
Mila yang menjalankan perniagaan katering dan pakej perkahwinan gusar memikirkan nasib lebih daripada 100 orang pekerjanya apabila tidak dapat menjalankan perniagaan ekoran pelaksanaan PKP. – KOSMO! ONLINE