PETALING JAYA – Negeri Perlis mengeluarkan fatwa berkaitan dengan guraun yang boleh dijadikan panduan buat orang ramai.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hukuman gurauan secara umum pada asalnya adalah dibenarkan.
“Bentuk-bentuk gurauan pada masa kini ialah prank, karikatur parodi, satira, komedi dan seumpamanya tertakluk kepada hukum asal iaitu dibenarkan melainkan jika terdapat perkara yang mencanggahi syariat.
“Jika bertujuan membawa kepada kebaikan dan dilakukan dengan cara yang baik seperti untuk menjalinkan hubungan yang lebih akrab, pendidikan yang berkesan atau segala maksud yang baik maka ia boleh mendatangkan pahala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook tadi.
Jelasnya, gurauan boleh menjadi haram jika mengandungi lima unsur-unsur berikut.
Katanya, unsur seperti mempermainkan agama Islam sama ada dari sudut kepercayaan, syiar atau amalan.
“Selain itu, memperlekeh dan merendahkan orang lain dalam perkara atau bentuk yang tidak wajar, mereka-reka sesuatu yang tidak yang membawa keburukan.
“Ia turut menjadi haram jika mendatangkan mudarat kepada pihak lain sama ada dari segi fizikal, emosi, maruah, harta atau ketenteraman individu atau masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, gurauan seperti melakukan maksiat, dosa dan kemungkaran turut dikategorikan sebagai haram.
“Selain itu, bahasa dan perlakuan yang tidak wajar menurut uruf turut haram gurauannya,” katanya.
Katanya, dinasihatkan juga kepada masyarakat untuk mementingkan sifat kesederhanaan, keseimbangan dan kesesuaian sebagaimana yang dianjurkan di dalam agama termasuk dalam permasalahan gurauan. – KOSMO! ONLINE