KARACHI, PAKISTAN – Hujan lebat serta banjir kilat melanda Pakistan kelmarin dengan cuaca buruk dijangka berterusan dan menyebabkan sekurang-kurangnya 150 kematian setakat ini, lapor agensi berita United Press International.
Beberapa pegawai berkata, bandar pelabuhan yang sibuk di selatan Pakistan, Karachi mengalami kesan paling buruk akibat hujan monsun. Hujan lebat di bandar itu menyebabkan seluruh kejiranan ditenggelami air dan ramai penduduk terkandas.
Pegawai-pegawai perkhidmatan kecemasan memberitahu kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 150 orang terkorban akibat bencana berkaitan musim hujan yang bermula kira-kira sebulan lalu.
Berpuluh-puluh kematian dilaporkan di Karachi dan kawasan berdekatan serta wilayah Balochistan. Hujan lebat juga mengakibatkan lapan empangan di Balochistan pecah dan air deras menghanyutkan ramai orang.
Ketua Ahli Meteorologi di Jabatan Meteorologi Pakistan, Sardar Sarafraz berkata, lebih banyak hujan dijangka melanda Karachi dan kawasan sekitarnya bermula esok dan diramal berterusan selama beberapa hari.
Perdana Menteri Pakistan yang baru dilantik, Shabaz Sharif menawarkan bantuan kepada Ketua Menteri wilayah tersebut, Murad Ali Shah.
“Saya berasa amat sedih di atas kehilangan banyak nyawa disebabkan hujan lebat di Karachi. Saya juga menawarkan semua bentuk bantuan yang boleh diberikan,” kata beliau menerusi kenyataan di laman Twitter.
Beberapa pegawai berkata, kenaikan paras air menyebabkan jalan-jalan di Karachi sukar dilalui. Menurut mereka, tentera laut Pakistan juga turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir serta memindahkan penduduk yang diancam bahaya.
Selain itu, anggota tentera turut menyampaikan bantuan makanan dan minuman kepada penduduk di kawasan yang terjejas. – Agensi