PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan bekas gandingan, Chan Peng Soon menjelang pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura hari ini.
Liu Ying yang kini bergandingan dengan Soong Joo Ven berkata, dia perlu melakukan perancangan terbaik sekiranya mahu mencatat kemenangan ke atas Peng Soon bersama pasangannnya, Cheah Yee See.
Dia yang pernah memenangi pingat perak bersama Peng Soon pada Sukan Olimpik Rio 2016 berharap dapat menampilkan aksi lebih baik di Singapura, memandangkan sering tersingkir awal dalam kejohanan terdahulu.
“Dahulu saya tidak perlu fikir banyak sangat mengenai corak permainan kerana sudah serasi dengan Peng Soon. Sekarang lebih berbeza kerana perlu sesuaikan diri dengan permainan Joo Ven.
“Walaupun sedikit sukar, tetapi saya tetap seronok bergandingan dengan Joo Ven. Kami cuma perlu memperbaiki persefahaman di dalam gelanggang bagi menghasilkan aksi yang dimahukan,” kata pemain kelahiran Melaka itu.
Sebagai rekod, sejak mula bergandingan pada kejohanan Indonesia Masters di Jakarta Jun lalu, Joo Ven-Liu Ying masih belum dapat melepasi halangan pusingan kedua bagi melangkah ke suku akhir.
Sementara itu, Joo Ven turut menyuarakan hasratnya untuk menyesuaikan diri lebih baik menerusi acara beregu campuran selepas sekian lama beraksi sebagai perseorangan lelaki.
“Memandangkan saya masih menjalani latihan sebagai pemain perseorangan, jadi masa untuk berlatih untuk beregu campuran agak terhad. Kami masih perlukan masa untuk memperbaiki persefahaman di dalam gelanggang,” ujarnya.