PETALING JAYA – Golongan pekerja disarankan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum kembali bekerja dalam usaha mengurangkan risiko peningkatan kes selepas pulang beraya di kampung.
Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu juga masih terpakai sehingga kini sekali gus disyorkan terutama kepada individu terdedah dengan risiko Covid-19.
“Sebagai contoh dalam program pelaksanaan korban, ada yang tidak memakai pelitup muka selain interaksi sosial dengan orang ramai. Jadi memang elok ujian saringan Covid-19 ini untuk memastikan mereka benar-benar sihat sebelum bekerja.
“Jika bergejala, dapatkan rawatan segera dan pastikan juga kita mendapatkan dos penggalak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Dr. Malina berkata, pemerhatian beliau mendapati boleh dikatakan majoriti orang ramai kini tidak memakai pelitup muka terutama di dalam kawasan tempat tertutup.
“Misalnya daripada 10 orang, dalam dua atau tiga orang sahaja memakai pelitup muka. Justeru saya nasihat supaya kekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Kita tidak pasti berapa bulan akan datang, bagaimana corak jangkitan itu. Walaupun sudah banyak kelonggaran, kita perlu menunggu setahun atau dua tahun lagi untuk pulih daripada keadaan tersebut,” jelasnya.
Tegasnya, bagi mengelakkan lonjakan kes terlalu tinggi sehingga menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara, rakyat Malaysia perlu berwaspada.
“Bukanlah KKM atau pihak terlibat kawalan Covid-19 mahu menyusahkan tetapi kita berjaga-jaga tidak mahu situasi sama ketika varian Delta melanda negara. Kita tidak mahu jangkitan kes teruk sehingga menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan.
“Sehubungan itu, perkara berkenaan perlu diberi perhatian dan ambil tanggungjawab patuhi SOP untuk menjaga masyarakat dan negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipetik berkata, KKM menjangkakan jumlah jangkitan baharu akan meningkat di negara ini susulan daripada varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang paling mudah merebak setakat ini dan lebih mudah menjangkiti.