BEIJING – Seorang penumpang panik apabila merakam beberapa skru sayap tercabut semasa pesawat dinaikinya berada pada ketinggian lebih 10,000 meter di ruang udara, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Dalam kejadian itu, satu skru pada fairing pesawat milik penerbangan Air China itu hilang, manakala skru-skru lain kelihatan sangat longgar.
Insiden itu dirakam pada pesawat Air China CA1921 yang melakukan penerbangan dari Beijing ke Hengyang pada 7 Julai lalu.
Penumpang yang ketakutan bertindak memuat naik rakaman itu di laman sosial, Weibo dan seterusnya tular.
Berikutan kejadian itu, Air China terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk cuba meyakinkan pelanggan tentang keselamatan mereka.
“Air China mengambil tindakan terhadap skru longgar pada fairing sayap kiri penerbangan CA1921 yang dikongsi di internet dengan membaikinya. Kami juga melakukan pemeriksaan keselamatan dan menyemak pesawat model sama yang lain,” kata syarikat penerbangan itu.
Air China bagaimanapun gagal menjelaskan bagaimana skru-skru itu menjadi longgar atau sama ada keselamatan penerbangan itu telah terjejas.
“Kemungkinan yang berlaku ialah sokongan dalam fairing telah patah atau skru longgar akibat getaran jangka panjang,” kata blogger penerbangan popular, Qiu Qing di laman sosial. – Agensi