MELAKA – Lebih 2,000 penduduk di Taman Semabok Perdana di sini semakin resah dengan ancaman puluhan anjing liar di kawasan itu sehingga terpaksa menghalang anak-anak daripada keluar bersiar-siar di padang permainan.
Seorang penduduk, Izhar Shafawi Idris, 40, berkata, situasi itu semakin membimbangkan apabila berlaku kes-kes penunggang motosikal terbabas akibat dikejar dan dirempuh haiwan berkenaan.
“Saya sendiri pernah dikejar anjing ketika menunggang motosikal tetapi syukur saya berjaya melepaskan diri.
“Baru-baru ini pula seorang penduduk mengalami cedera parah selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh anjing. Memanglah kita (penduduk) makin resah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Mohd. Zaidi Yusof, 51, pula memberitahu, selain faktor keselamatan, kemunculan anjing liar itu turut menyebabkan kawasan taman itu dicemari najis anjing.
“Bayangkanlah kalau kita nak ke masjid, tiba-tiba terpijak najis anjing, memanglah situasi ini amat menyusahkan kerana perlu samak.
“Anak-anak pun kami tak bagi main di padang permainan sebab takut mereka dikejar atau terpijak tahi anjing, sebab itulah padang ini selalu nampak kosong dan tidak digunakan,” katanya.
Seorang warga emas, Rosli Hashim,65, mendakwa pernah mengalami saat-saat cemas apabila diekori tujuh ekor anjing liar.
“Mujurlah masa tu saya hampir sampai ke masjid, kalau tidak entah apa yang berlaku. Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat segera selesaikan isu ini.
“Bagi yang memelihara, kami minta PBT membuat semakan lesen dan mengeluarkan garis panduan untuk sentiasa memantau anjing mereka di kawasan luar kediaman,” katanya.
Terlantar akibat dirempuh anjing
Seorang peniaga, Zaini Kalid, 53, kini terlantar apabila tulang lutut dan pergelangan tangannya patah selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh anjing liar di Taman Semabok Perdana baru-baru ini.
Zaini Kalid, 53, berkata, kejadian pada pukul 10.30 malam 1 Julai lalu itu berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk mengambil isterinya, Afifah Abu Hassan, 43, di rumah mentua di Kampung Semabok.
Katanya, sebaik tiba di lokasi seekor anjing hitam meluru secara tiba-tiba dan merempuh tayar hadapan motosikalnya. Saya tercampak dan terseret sebelum dibantu penduduk,” katanya.
Selain tulang patah, kulit pipi dan tangannya turut terkoyak. Zaini tidak boleh bergerak dan perlu memakai lampin pakai buang.