SHAH ALAM – Gogopasar, platform e-dagang mengunjurkan pertumbuhan sehingga tiga kali ganda pada tahun hadapan ekoran kejayaan syarikat menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, koperasi dan syarikat swasta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lynn Alias berkata, syarikat pemula niaga di bawah Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) itu turut mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak yang mahu menganjurkan kempen tanggungjawab sosial (CSR) seperti Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk menyumbang barang keperluan termasuk makanan dan minuman kepada golongan yang memerlukan.
“Antara projek CSR yang kami kendalikan adalah Jejak Asnaf,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani kerjasama antara Gogopasar dengan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas) bersempena mesyuarat agung perwakilan koperasi tersebut di sini baru-baru ini.
Lynn menjelaskan, sempena pemeteraian kerjasama menerusi Platform Elektronik Transformasi Sekolah (STEP), syarikat akan dapat membekalkan barang makanan terus kepada 82 buah sekolah.
Menurut beliau, kerjasama tersebut membolehkan Kopenas menjadi pelabur selain Gogopasar pula dapat membantu meringankan beban ibu bapa serta guru mendapatkan barangan runcit melalui pembelian di platform sehenti yang dibangunkan.
“Ini akan memudahkan mereka mendapatkan barangan keperluan asas keluarga seperti barangan runcit menerusi kedai dalam talian termasuk penghantaran terus ke sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Kopenas, Jumat Mat Lani menerangkan, pendigitalan koperasi sekolah melalui STEP, secara tidak langsung dapat memasarkan produk koperasi sekolah itu, bukan hanya kepada anggota koperasi tetapi ibu bapa dan masyarakat setempat.
“Selain itu, kecekapan dalam tadbir urus koperasi menggunakan perisian ini akan juga dapat menukar kaedah perniagaan konvensional koperasi kepada kaedah pendigitalan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE