fbpx

Sri Lanka akhirnya dapat bekalan petrol tetapi terhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai di Colombo beratur untuk mendapatkan minyak tanah selama berbulan-bulan manakala yang lain memasak di atas kayu api. – BBC/Tessa Wong

COLOMBO – Bekalan bahan api seperti petrol dan gas memasak dijual semula secara terhad di beberapa buah bandar selepas bantahan anti kerajaan menyebabkan Sri Lanka huru-hara hujung minggu lalu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam. 

Beribu-ribu pembeli yang keletihan, beratur panjang di stesen-stesen minyak dan pusat komuniti di seluruh ibu negara Sri Lanka, Colombo kelmarin.

Bekalan baharu itu memberi kelegaan kepada penduduk Colombo yang berbulan-bulan berdepan kekurangan bahan api, makanan dan keperluan asas lain. Krisis kewangan kali ini adalah yang paling buruk dialami penduduk Sri Lanka sejak negara itu merdeka.

Inflasi yang berleluasa menyebabkan harga melonjak, manakala rizab mata wang asing juga kehabisan, menyebabkan Sri Lanka tidak dapat mengimport barangan asas terutamanya makanan, bahan api serta ubat.

Kemarahan dan kekecewaan rakyat memuncak dengan berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo pada Sabtu lalu selepas protes selama berbulan-bulan.

Orang ramai turut membakar kediaman peribadi milik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe. Kedua-dua pemimpin itu tiada di kediaman mereka ketika kejadian.

Di daerah Slave Island, Colombo kelmarin, beratus-ratus penduduk menunggu token yang mereka boleh gunakan untuk mendapatkan gas memasak selepas penghantaran baharu gas petroleum cecair tiba di Sri Lanka kelmarin.

Barisan silinder gas biru kosong yang disusun mengelilingi beberapa blok pangsapuri. Penduduk juga perlu menunggu selama berjam-jam.

Seorang penduduk P Selvi Kalachelvi mengeluarkan beg plastik berisi roti daripada beg tangannya. Wanita itu berkata, itu sahaja yang dia makan pada hari tersebut.

“Saya sudah enam bulan tidak mempunyai gas memasak. Saya pernah menunggu selama empat hari untuk mendapatkan minyak tanah tetapi masih tidak dapat apa-apa. Semua orang menderita, apa yang boleh kami lakukan,” katanya. 

Gas memasak berkurangan selama berbulan-bulan, manakala banyak stesen minyak menghentikan jualan kepada orang awam dua minggu lalu untuk menjimatkan bekalan bagi perkhidmatan penting. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI