PETALING JAYA – Seorang wanita memuat naik hantaran di Facebooknya memohon bantuan orang ramai mengesan pemandu kereta jenis BMW berwarna kelabu selepas bertindak melarikan diri setelah menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Sungkai petang semalam.
Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, 4 bulan telah tercampak ke tengah jalan akibat insiden yang berlaku.
“Kereta BMW tersebut terus lari selepas menghimpit kereta kami dan kereta kami berpusing beberapa kali sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri.
“Anak saya tercampak tengah jalan dan sedang bertarung kesakitan patah tulang peha, tulang pinggul dan pendarahan di otak.
“Mohon bantu saya mencari rakaman papan pemuka (dashcam) kemalangan pada 7.30 petang semalam di Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan (Sungkai), terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE