PUTRAJAYA – Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak menjejaskan minat orang ramai untuk memiliki kediaman sendiri dan berkunjung ke Karnival Jom Beli Rumah yang akan berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley bermula Jumaat ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, ia berikutan terdapat insentif tertentu seperti rebat yang akan disediakan menerusi program-program rumah mampu milik.
“Dalam program rumah mampu milik ada disediakan insentif tertentu seperti rebat dan sebagainya, ini mungkin dapat mengurangkan sedikit sebanyak perbezaan dari segi kenaikan OPR.
“Tetapi kita tetap mengawal harga rumah mampu milik iaitu ditetapkan di bawah harga RM300,000 ke bawah walaupun (berlaku) peningkatan OPR (kerana) tidak boleh melebihi daripada harga dalam dasar mampu milik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Ibadah Korban KPKT bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tahun 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14 di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menjangkakan karnival yang diadakan selama tiga hari itu mampu menarik lebih daripada 20,000 pengunjung yang ingin melihat peluang pemilikan perumahan.
“Diharap program ini menjadi satu platform untuk menarik minat orang ramai, mungkin ada diskaun tertentu yang akan ditawarkan dalam pemilikan rumah selain terdapat pelbagai institusi kewangan di mana mereka menyediakan pembiayaan yang bagus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE