PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah melaungkan kata-kata semangat menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Barcelona di Litar Catalunya hari ini.
Hafizh yang menamatkan perlumbaan GP Emilia Romagna di tempat ke-23 minggu lepas berharap dia mampu menampilkan tunggangan lebih baik pada perlumbaan kali ini.
Meskipun sudah boleh kembali beraksi, namun pelumba pasukan Aspar Team itu mengakui dia masih belum cergas sepenuhnya pada perlumbaan minggu lepas.
“Perlumbaan di Barcelona boleh dianggap aksi menarik kerana Litar Catalunya adalah salah satu litar paling saya gemari. Sudah tentu saya akan tampilkan aksi terbaik pada perlumbaan nanti.
“Sebenarnya keadaan saya masih belum pulih 100 peratus ketika perlumbaan di Misano, namun saya harap boleh berada pada tahap terbaik di Catalunya,” kata Hafizh semalam.
Pelumba berusia 26 tahun itu berharap kerja keras yang dilakukan sepanjang minggu ini boleh membantunya mencabar kedudukan kelompok hadapan pada perlumbaan hari ini.
Hafizh juga percaya jenteranya memiliki potensi cukup besar pada perlumbaan kali ini selepas berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan.
“Apa yang penting sekarang kami tidak boleh mengalah dan perlu bekerja keras sekiranya mahu bersaing dengan pelumba kelompok hadapan. Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk manfaatkan potensi jentera,” ujarnya.