GEORGE TOWN – Dua individu berdepan kerugian hampir RM1.34 juta selepas ditipu pasangan lelaki dan wanita dipercayai ahli sindiket pelaburan tidak wujud yang berpangkalan di luar negara.
Warga emas yang juga pesara kerajaan, Wong Lum Yoke, 76, kerugian hampir RM570,000 selepas ditipu seorang wanita berusia 50-an bermula 2019 hingga 2021 manakala Kang Eng Thye,58, iaitu bekas guru swasta pula rugi RM770,000 selepas ditipu seorang lelaki berusia 60-an pada 2016 hingga 2021.
Kedua-dua individu berkenaan didakwa merupakan ahli sindiket yang menawarkan bon pelaburan dari kerajaan China yang menjanjikan pulangan 10 kali ganda dalam wang USD kepada para pelabur.
Difahamkan, lebih 40 pelabur di Pulau Pinang menjadi mangsa dua individu itu yang kini didakwa menghilangkan diri di Kuala Lumpur.
Menurut Lum Yoke, dia membuat laporan polis pada Ogos tahun lalu selepas mendapati tiada wang pulangan pelaburan yang dijanjikan wanita dikenali sebagai Datin Neoh itu setelah melakukan lebih 10 kali transaksi wang ke akaun wanita itu.
“Saya turut menggadaikan barang kemas untuk melabur di dalam skim pelaburan bon kerajaan China ini, ketika berjumpa dengan wanita ini pada 2019 suami saya sedang menghidap kanser.
“Saya memerlukan wang segera kerana mahu mengubati suami, namun akhirnya suami saya meninggal dunia pada Januari 2020 dan wang yang saya laburkan pula lesap bersama wanita ini,” katanya pada satu sidang akhbar di Pejabat MCA di sini hari ini.
Dakwa Lum Yoke lagi, Datin Neoh itu akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa lagi pelabur lain di lokasi terbuka dan akan berhubung dengan seorang lagi pakar pelaburan yang berada di luar negara.
“Ketika itu, kami akan diminta menambah pelaburan dan dijanjikan dengan pulangan berganda namun sehingga kini tiada apa yang kami dapat.
“Saya bertindak membuat laporan polis pada Ogos 2021 kerana tidak mahu lebih ramai orang ditipu dan saya harap polis dapat menahan wanita ini,” katanya.
Dalam pada itu, Eng Thye pula mendakwa wang simpanannya berjumlah RM770,000 lesap dalam tempoh 2016 hingga 2019 selepas terpedaya dengan janji manis pakar pelaburan yang dikenali sebagai Law.
“Saya hanya tahu ditipu oleh sindiket yang sama menipu Lum Yoke selepas memohon bantuan daripada MCA. Saya melakukan lebih 70 transaksi ke dalam akaun Law kerana dia menjanjikan pulangan berganda sekiranya kami memasuki dana pelaburan bon dari kerajaan China,” katanya. KOSMO! ONLINE